Memperbetulkan Frasa ‘Saya Yang Menurut Perintah’ (Juara)

Saya adalah antara ribuan pekerja swasta yang beralih angin bertugas sebagai penjawat awam bagi mencurahkan khidmat bakti kepada institusi kerajaan. Tidak dapat dinafikan, saya juga mengalami perubahan cara dan persekitaran kerja yang berbeza dari sektor swasta.

Apa yang menarik perhatian saya adalah penggunaan frasa “Saya Yang Menurut Perintah” di sektor awam. Ternyata frasa ini dipergunakan secara meluas di surat-surat rasmi mahupun apa bentuk tugas yang diarahkan. Namun saya berpendapat frasa ini kadangkala disalah erti oleh sesetengah pihak. Mereka merasakan mereka wajib mengikut arahan tanpa usul periksa.

Saya melihat ini adalah suatu persekitaran kerja yang kurang sihat di mana jika dibiarkan boleh mewujudkan suasana kerja yang tidak kompetitif. Bagaimanapun saya suka melihat dari sudut mengapa perkara ini boleh berlaku.

Saya berpendapat ruang perbincangan di antara pemberi arahan dan penerima arahan perlu dibuka dengan lebih telus dan berkesan. Mahu tidak mahu ada di antara penerima arahan merasakan diri mereka tidak wajar atau tidak layak mengulas lanjut tentang arahan yang telah diberikan. Ketika inilah peranan pemberi arahan amat diperlukan.

Perdana Menteri kita, Datuk Seri Najib Tun Razak juga menyatakan “Era kerajaan mengetahui segala-galanya sudah berlalu” yang mana setiap ketua di sektor awam harus mempraktikkan komunikasi dua hala dengan pekerja mereka.

Secara ringkasnya, frasa ini boleh diperbetulkan dengan sebahagian besar peranannya dimainkan oleh pemberi arahan. Walaupun nampak remeh, memperbetulkan tafsiran salah frasa ini mungkin dapat merealisasikan “1 Malaysia” dengan jayanya. Jangan takut menghadapi kesilapan, tetapi takutlah menghadapi kesilapan yang sama berulang kali.

Ezzuddin Bin Ab Razad, JKR Workyop Persekutuan, KL

Pemerkasaan Integriti JKR Menjamin Kejayaan RMK-11 (Tempat Kedua)

Prestasi JKR di RMK-10 adalah tidak memberangsangkan, banyak teguran Ketua Audit  Negara dan aduan pelanggan yang diterima. JKR adalah agensi teknikal yang terbesar tetapi seakan telah kehilangan taringnya. Ketika ini dan di saat ini kewibawaan JKR sering dipersoalkan, di mana silapnya?

JKR perlu bangun semula dan bagi mengembalikan kecemerlangan JKR  perlu ‘transform’ dari segi integriti yang dicerminkan dalam harmoni antara apa yang dikata dan yang di kota di mana kompetensi, akauntabiliti dan ketelusan menjadi tonggak konsep integriti .

Dalam Islam, integriti itu mencakupi ciri akhlak dan taqwa. Taqwa itu ialah melaksanakan segala suruhan Allah dan menjauhi segala larangannya.  Akhlak adalah bersumberkan hukum Allah. Warga JKR yang berintegriti menjalankan tugas yang dimanahkan mengikut kepentingan awam. Sesungguhnya peningkatan integriti akan membawa kepada peningkatan kualiti kerja.

Pihak pengurusan JKR harus merangka pelbagai program berterusan diperingkat organisasinya supaya budaya integriti itu menjadi ‘second nature’. Ke arah itu, tindakan pendidikan (educative) dan pencegahan (preventive) perlu berjalan seiring dengan tindakan hukuman (punitive). Adalah diharapkan dengan pelaksanaan padu Pelan Integriti Organisasi (PIO) JKR yang sedang dibangunkan oleh Bahagian Audit Integriti, Cawangan Dasar Dan Pengurusan Korporat  ini,  dengan izin Allah  tidak mustahil  JKR kembali ke persada kecemerlangan dalam RMK-11.

Ir. Dr. HANNERITA MOHAMAD ZAINAL, CPAB, IPJKR

Bacalah…. Warga JKR (Tempat Ketiga)

Bacalah…

Santapan jasad itu makanan,

Santapan rohani itu zikir,

Santapan akal itu ilmu,

Bacalah…

Tanpa ilmu kita sesat,

Tanpa ilmu kita keliru,

Tanpa ilmu akal kosong,

Bacalah…

Kita adalah apa yang kita dengar,

Kita adalah apa yang kita kata,

Kita adalah apa yang kita lilhat,

Bacalah,

Dengan ilmu kita tahu,

Dengan ilmu kita kenal,

Dengan ilmu kita temui,

Bacalah,

Tuntutlah ilmu dengan berguru,

Tuntutlah ilmu tanpa henti,

Tuntutlah ilmu dengan sabar,

Bacalah,

Kerana menuntut ilmu adalah dituntut,

Cintai ilmu, fahami ilmu dan amalkan ilmu,

Kerana ibu segala ilmu adalah sabar,

Bacalah,

Moga manfaat pada diri,

Moga manfaat pada masyarakat,

Moga temui hakikat.

 

Ir. SYED ZULKARNAIN SHAH BIN SYED AHMAD KAMAL, UKAS, JPM

Anjakan Paradigma Dalam Gerak Kerja Warga JKR

Dalam dunia yang serba pantas dan semakin mengecil ini, kita seringkali disogokkan dengan berita-berita sensasi  sama ada ianya  sebagai fakta ataupun persepsi semata-mata. Lebih mendukacita lagi, ada kalanya berita yang dipamerkan di media-media cetak mahupun media sosial menzahirkan produk  atau perkhidmatan yang tidak berkualiti yang lahirnya dari sebuah jabatan teknikal yang unggul di negara ini iaitu Jabatan Kerja Raya (JKR).

Persoalannya, kenapa ianya masih berlaku walhal JKR telahpun mengukir namanya di bumi Malaysia sejak tahun 1872 lagi. Kenapa persepsi negatif ini mula berputik dan di mana titik nokhtah ini akan berakhir atau setidak-tidaknya berkurang? Justeru itu, bagi menjawap persoalan ini marilah kita bersama-sama merenung kembali diri kita dan organisasi JKR yang kita cintai ini dalam mendepani hala tuju dan masa depan yang lebih optimistik dan realistik.

Perkara yang menjadi asas dan tunjang kepada transformasi perubahan sesebuah organisasi ialah menyediakan modal insan yang terbaik. Perancangan yang teliti perlu dihasilkan oleh pihak Pengurusan JKR agar modal insan ini mampu mengolah daya kreativiti dan nilai intelektual serta kelestarian dalam pengurusan dan pentadbiran organisasinya.

Lantaran itu, sebagai warga JKR yang telahpun bermastautin sewajarnya menyahut cabaran bagi mengadaptasikan diri sendiri dengan membuka minda yang positif dan proaktif dalam setiap perubahan yang berlaku tanpa mengenal siapa diri kita. Apa yang penting perubahan diri ini haruslah di dorong dengan hati yang suci dan tindakannya pula mestilah ikhlas  seiring dengan keperluan dunia masa kini yang lebih dikenali dengan dunia tanpa sempadan.

ABDUL RANI BIN HARUN, BPK, JKR PERAK

Menjadi Khalifah, Pemimpin, Pekerja Yang Cekap Dan Berkesan

FORMULA KEHIDUPAN :

  • CEKAP (EFFICIENT) + BERKESAN (EFFECTIVE) = CEMERLANG (THRIVE)

Manusia dijadikan sebagai Khalifah dimuka bumi adalah sebahagiannya untuk memelihara alam dan sumbernya secara cekap dan berkesan.

Memetik mutiara kata Pengurusan Projek diera moden dan kepantasan masa kini sering menjadikan kita semakin baik dan bertambah baik:

“Melakukan sesuatu kerja dengan cekap tetapi tidak berkesan maka ia tidak mencapai Objektif kerja bersamaan dengan kurang Berjaya”

atau

“Melakukan sesuatu kerja dengan berkesan tetapi tidak cekap, maka ia bersamaan dengan kerja yang tidak dijalankan dengan lestari”

kerana pembaziran sumber yang Allah kurniakan kepada kita sebagai khalifah adalah dengan memegang amanah secara cekap dan berkesan dalam bentuk jasmani dan rohani.

Malah melakukan kerja dengan tidak cekap dan tidak berkesan adalah lebih negatif kesannya dari kedua-dua cara kerja yang telah dinyatakan di atas. Jika kita sebagai pekerja maka ia akan merugikan majikan, dan sekiranya sebagai majikan maka akan runtuhlah organisasi.

Justeru itu, pilihlah dengan melakukan sesuatu pekerjaan rasmi mahupun tidak rasmi dengan cekap dan berkesan agar dengan kecekapan itu kita dapat gunakan baki sumber tersebut untuk kejayaan seterusnya dan laksanakanlah tugas/kerja dengan berkesan kerana tanpa strategi dan fokus berterusan adalah sukar mendapatkan kecemerlangan.

Mohd Fairuz Isnan, IPJKR

Perlunya R&D Dalam Membentuk JKR Yang Baru Dan Kuat

Setiap tahun JKR melahirkan ramai Pakar, Dr., Ir, Sr. dan sebagainya. Begitu juga setiap tahun dianjurkan dan dilaksanakan  Hari Inovasi. Tetapi kesinambungan dari kemahiran mereka ini tidak dapat digunakan sepenuhnya didalam  JKR mahupun di dalam industri pembinaan ibarat mencurahkan air di daun keladi.

Perubahan keperluan dunia serta permintaan pelanggan semakin hari semakin tinggi dan berbeza dari pelbagai aspek yang kompleks yang mana  JKR perlu mengambilnya dengan serius dan efektif.

Disini lah JKR perlukan atau lebih tepat membentuk 1 pusat/unit/pasukan Research & Development (R&D) dalam mencari jalan penyelesaian terbaik untuk  JKR untuk kekal relevan dan mampu berhapadan dengan pelbagai cabaran di masa hadapan. Kita ada ramai Dr, Pakar, Ir., Sr., Ar. dan sebagainya, gunakan idea mereka ini dalam menghasilkan sesuatu yang baru dan bermanfaat kepada  JKR. JKR perlu bertindak segara dalam mencari rentak yang sesuai untuk mengatasi  persepsi pelanggan yang semakin menurun terhadap jabatan kita.

Dengan adanya   Research   & Development Center ini  di dalam  JKR, dengan sendirinya pegawai-pegawai kita yang mempunyai wawasan dan buah fikiran yang  tinggi dapat menyumbang di samping dapat memupuk budaya kerja yang lebih baik.

Sejarah dan  fakta telah banyak membuktikan  dengan adanya R&D center ini sesebuah organisasi dapat bangkit dengan cemerlang dalam sesuatu perubahan dan dapat memberi kepuasan yang maksimum kepada permintaan pelanggan khususnya. Cukuplah dengan pelbagai bebanan polisi yang kita wujudkan, tetapi wujudkan cara baru untuk berfikir dan mencipta sesuatu yang baru  (fizikal) yang dapat membantu meningkatkan imej JKR dipersada negara dan dunia. Kita mampu.

MOHD KHAIRUL AMIR BIN MOHD JAMIL, JKR DAERAH SETIU, TERENGGANU

JKR Sebagai “A Good Public Figure”

Bunyi dan membacanya adalah sangat mudah, tetapi dalam melaksanakannya amatlah sukar dan berat. Suka atau tidak suka, JKR perlu segera bangkit dan sedar dari lamunan tidur yang panjang selama 140 tahun.  Siapa tidak kenal dan tahu dengan nama JKR, sebut sahaja jalan tentu JKR lah perkataan pertama yang keluar dari mulut seseorang itu.

Dalam dunia yang semakin moden dan pantas berinterasi, JKR juga perlu bersama-sama selari dengan keadaan perubahan ini. Soalnya bagaimana untuk menjadi JKR sebagai “A Good Public Figure”? Dari segi pembinaan sememangnya kita sudah cukup popular, tetapi bagaimana cara untuk popular itu memberi impak yang lebih baik dan maksimum kepada masyarakat. Disini lah kecekapan dan kefungsian media massa di pihak JKR perlu lebih ‘advance’ untuk menjadikan kejayaan JKR itu sesuatu yang luar biasa. Penggunaan ‘headline’ sesebuah arkitel atau berita perlu lebih kreatif dan dekat pada masyarakat. Contohnya di Facebook or Twitter, tidak salah rasanya jika JKR viralkan sesuatu yang baik, menjadi salah satu agensi yang terawal dalam mengumumkan sesuatu yang penting. Dunia sekarang lebih kepada persepsi, JKR perlu mengaut keuntungan daripada media massa ini bagi menampilkan imej JKR itu sendiri.

Kita tahu saban tahun negara kita akan mengalami bencana banjir, tanah runtuh dan kes kemalangan yang tinggi. Pada keadaan seperti inilah JKR perlu mengambil semua peluang yang ada dalam menonjolkan imej JKR  sebagai salah satu agensi kerajaan yang prihatin dalam membantu segala masalah,kesulitan dan kesusahan masyarakat yang pada ketika itu memang memerlukan bantuan yang segera.

JKR perlu ada seseorang yang dominan dalam membina hubungan yang baik dengan dunia kewartawanan. Wartawan merupakan mereka yang sentiasa menjadi lidah kepada masyarakat di Malaysia seharian. Jadikan wartawan itu sendiri kawan baik atau lebih baiknya ‘bisness partner’.

Jika JKR perlu lahirkan Arwah Mokhtar Dahari, Lee Chong Wei atau Pandelela bagi meningkatkan dan menjadikan JKR sebagai ‘A Good Public Figure’, JKR perlu mencari idea dan jalan untuk merealisasikan perkara ini. Tawarkan kepada atlit-atlit yang masih muda peluang bekerja bersama JKR, didik dan asuh mereka supaya membawa naik baik JKR ke pelusuk dunia. Di samping itu juga, JKR perlu lebih banyak terlibat dengan acara-acara yang besar yang dianjurkan pihak Kerajaan sebagai contoh Hari Sukan Negara, Hari Kebangsaan dan sebagainya dalam menonjolkan imej JKR dengan lebih banyak dan kuat.

MOHD KHAIRUL AMIR BIN MOHD JAMIL, JKR DAERAH SETIU, TERENGGANU

Memperkasakan Budaya Inovasi Di Dalam JKR

Setiap tahun JKR menganjurkan Hari Inovasi bagi memberi peluang kepada kakitangan untuk mencurahkan idea,buah fikiran, wawasan dan sebagainya dalam bentuk fizikal mahupun maya untuk dipertandingankan di peringkat negeri seterusnya kebangsaan. Masa, tenaga dan wang banyak digunakan dalam membentuk sesuatu inovasi tersebut sehingga membuahkan hasil yang diinginkan.

Tetapi ke mana kekuatan  inovasi itu sendiri hilang?  Ianya seperti melepaskan batok ditangga dan tiada kesinambungan yang kuat selepas itu. Tidak semestinya yang menang sahaja perlu diberikan keutamaan, yang tidak berjaya juga perlu diberikan fokus dan dorongan untuk lebih banyak sebenarnya. JKR perlu wujudkan 1 pasukan yang mana menjaga hak, patern, idea dan kumpulan tersebut dalam memberi impak yang lebih tinggi. Disini lah titik tolaknya JKR dapat menghasilkan sesuatu yang luar biasa yang dapat membuka mata orang luar atau lebih tepat adalah pelanggan kita untuk lebih percaya dan yakin dengan produk JKR.

Kita ramai pakar, Ir., Dr., dan sebagainya, gunakan lah mereka sebagai kekuatan kita dalam sesebuah ciptaan mahupun kumpulan. Jangan biarkan inovasi kita ini dicuri oleh orang luar yang dengan mudah membuat keuntungan. Saya percaya kita mampu jadikan budaya inovasi ini sebagai salah cara untuk kita meningkatkan kembali imej JKR di mata pelanggan mahupun masyarakat.

MOHD KHAIRUL AMIR BIN MOHD JAMIL, JKR DAERAH SETIU, TERENGGANU

Alumni JKR

Pemerkasaan JKR tidak lagi hanya boleh dilihat dari dalaman sahaja. Faktor luaran yang boleh diambil kira dalam menyokong JKR adalah daripada warga JKR yang telah keluar dari Jabatan ataupun telah tamat tempoh perkhidmatannya. Penubuhan Alumni JKR adalah satu langkah wajar bagi mengumpulkan kesemua warga JKR ‘di luar’ agar bersatu di bawah satu pertubuhan / organisasi.

Antara manfaat yang boleh kita capai dengan adanya Alumni JKR adalah:-

  1. Perkongsian idea / ilmu daripada ‘orang lama’
  2. Pengiklanan bisnes ahli Alumni JKR
  3. Sokongan JKR kepada Alumni dan sebaliknya

Idea penubuhan sebuah alumni JKR ini telah beberapa kali dibangkitkan namun masih belum dapat direalisasikan sepenuhnya kerana beberapa kekangan seperti:-

  1. Peruntukan kewangan
  2. Inisiatif dan komitmen daripada pihak dua hala (JKR dan warga JKR)

Menubuhkan suatu organisasi bukanlah satu tugas yang mudah dan sering menemui jalan buntu. Namun, alternatif lain perlu sentiasa dicari sekiranya ingin melihat Alumni JKR ditubuhkan seperti melalui ProJKR Malaysia ataupun melalui organisasi yang lain.

Ir. SYED ZULKARNAIN SHAH BIN SYED AHMAD KAMAL, UKAS, JPM

Cabaran JKR Masakini

JKR atau Jabatan Kerja Raya adalah nama yang sinonim dengan pembangunan dan penyelenggaraan infrastruktur Negara di mata umum. Terkini JKR menghadapi cabaran besar menangani persepsi negatif rakyat di era Ledakan Informasi ini yang terdedah dengan kemajuan di negara-negara maju di dunia dan mahukan kualiti yang sama di negara sendiri. Segala yang buruk di dalam pengurusan fasiliti awam dipandang sebagai tanggungjawab JKR walaupun terdapat agensi-agensi lain yang turut menyumbang kepada pembangunan infrastruktur tersebut. Tidak dinafikan bahawa terdapat juga kelemahan-kelemahan JKR yang perlu segera dibaiki.

Masa di mana JKR adalah hero dan buah hati rakyat yang dahagakan pembangunan sudah berlalu. Cabaran pada masa dulu adalah mudah; reka, bina, serah dan terus selenggara untuk sesetengah fasiliti. Sekarang ini persepsi rakyat memainkan peranan yang besar dan JKR dilihat terkapai-kapai menghadapi cabaran dunia globalisasi dan media sosial yang banyak mempengaruhi fikiran rakyat. Untuk terus relevan JKR perlu tidak hanya menganalisa masaalah dan cabaran semasa tetapi juga menyingkap kembali faktor-faktor yang telah menjayakan JKR dahulu.

Antara yang jelas adalah tahap organisasi dahulu yang mudah dan jelas berbanding sekarang yang agak komplikated berasaskan matriks. JKR perlu membentuk organisasi yang berasaskan unit-unit kecil yang berperanan khusus untuk perlaksanaan sesuatu projek secara A-Z. Peranan Ibu Pejabat hanyalah menyokong unit-unit pelaksana ini dengan kepakaran, sumber dan maklumat. Dengan begini JKR akan beralih daripada ibarat seekor dinosaur yang perkasa tetapi lembab dan sukar beralih arah kepada sekawan serigala yang pantas, pintar dan terkoordinasi di bawah satu kepala.

RAZALI DERAHMAN, CDPK, IPJKR

Manfaat Dan Keperluan Media Sosial Dalam JKR

Meniti arus kemodenan, pengukuhan tenaga kerja berwibawa dan penggunaan teknologi serta kesediaan dalam melebarkan pengaruh penggunaan media sosial adalah penting bagi JKR dalam menjana pembangunan mampan dan lestari serta memastikan pembangunan negara dinikmati semua lapisan masyarakat dan seiring dengan keperluan.

Penggunaan media sosial secara selektif dan efektif mampu membawa impak positif terhadap kaedah kerja, tugasan, jati diri serta kredibiliti sesebuah jabatan. JKR merupakan badan induk yang melaksanakan bukan sahaja pembinaan tetapi juga aspek penyenggaraan memerlukan sokongan semua pihak dalam memastikan kelancaran perkhidmatan yang disediakan, kewujudan jalinan media sosial membantu mempercepatkan edaran berita dan mempermudahkan tindakan susulan bagi mengelakkan sebarang kelewatan dan memastikan pelan perancangan tepat kepada golongan sasaran.

Dunia tanpa sempadan, media sosial mampu menjadi medium utama JKR dalam mendidik dan memupuk semangat kecintaan rakyat bagi menghargai pembangunan yang dilaksanakan dan meneruskan kelansungan segala kemudahan yang disediakan. Melalui jalinan media sosial juga JKR berupaya mewujudkan ikatan mampan antara industri pembinaan dan dunia pendidikan dalam melahirkan pelbagai teknologi terkini yang relevan.

Tak tumbuh tak melata, tak sungguh orang tak kata, begitulah ibaratnya keperluan media sosial dalam memastikan JKR terus berdaya saing dalam membentuk sebuah negara maju dan berwawasan.

SITI MAIZATULHARMI MOHD TASERIP, JKR N.SEMBILAN

Jalinan Kepelbagaian Disiplin di JKR

Teguhnya sesebuah institusi didokong sepenuhnya oleh jalinan kerjasama dan muafakat antara ahli-ahlinya. Kekuatan JKR yang telah berdiri teguh semenjak tahun 1780an bukan sahaja terletak pada namanya tetapi juga gandingan mantap pelbagai disiplin yang bernaung di bawahnya.

JKR selaku badan induk peneraju pembangunan negara, mempunyai pelbagai lapisan tenaga profesional dalam pelbagai bidang kepakaran bagi menjana idea dan saling melengkapi. Khidmat setiap disiplin melahirkan projek-projek berkualiti milik kerajaan dari pelbagai kementerian.

Berdirinya bangunan pencakar langit, jalinan lebuhraya, projek-projek kompleks dan mega adalah hasil interaksi positif pelbagai disiplin. Penelitian rapi jurutera awam menghasilkan struktur-struktur yang berdiri teguh menongkah zaman, penghayatan arkitek melahirkan nilai-nilai estetik yang menjadi kebanggaan, gabungan mantap jurutera elektrik dan jurutera mekanikal saling melengkapi bagi keselesaan dan kemudahan kemudian hari, kesinambungan juruukur bangunan dan juruukur tanah melaksanakan proses-proses tertentu melengkapi kitaran pembinaan, dan kekuatan juruukur bahan mengawal selia kontrak dan proses perolehan melengkapkan sesebuah pembinaan.

Gabungan mantap kesemua disiplin ini menjadi tiang utama kejayaan perlaksanaan projek-projek JKR samada di peringkat persekutuan, negeri dan daerah. Benarlah kata pepatah, bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat.

SITI MAIZATULHARMI MOHD TASERIP, JKR N.SEMBILAN

Pencapaian Kualiti, Kos dan Masa Dalam Pengurusan Projek

Pengurusan projek adalah suatu perkara yang boleh dikatakan sinonim dengan JKR. Objektif bagi pengurusan projek melibatkan tiga perkara iaitu Kos, Masa dan Kualiti.

Idealistiknya seseorang pengurus projek berkehendakkan projek seliaan beliau dibina dengan megamalkan penjimatan kos, masa pembinaan yang singkat dan kualiti pembinaan dan juga kualiti  bahan binaan yang tinggi, namun, realitinya ianya sukar dicapai. Situasi ini digambarkan dengan jelas seperti gambarajah di atas yang dikenali sebagai “Rules of Apexes”.

Mereka yang terlibat dalam pengurusan projek perlu maklum bahawa ketiga-tiga kos, masa dan kualiti ini tidak dapat dipenuhi dan salah satu daripada tiga ini perlu dikorbankan atau dengan kata lain diketepikan. Sebagai contoh, bagi memenuhi kehendak pelanggan/ stakeholder yang berkeinginan projek disiapkan dengan kualiti pembinaan, kualiti bahan pembinaan dan peralatan yang berkualiti tinggi serta dalam tempoh masa yang singkat, kos projek tersebut adalah tinggi dari anggaran biasa.

Namun, di dalam era digital yang mana pelanggan/ stakeholder memainkan peranan penting dalam penglibatan projek bermula dari peringkat perancangan sehinggalah penyerahan projek, pihak klien dan stakeholder meletakkan pengharapan yang besar untuk JKR melaksanakan projek dengan memenuhi ketiga-tiga kriteria Kos, Tempoh dan Kualiti. Persoalannya…. adakah ianya mampu dan boleh dicapai oleh JKR?

Razmann Bin Abdul Rashid, CAST, IPJKR

Komitmen Untuk Kejayaan

Mengikut statistik tahunan, secara purata hanya sebanyak 25% daripada projek JKR berjaya disiapkan mengikut jadual asal. Selebihnya disiapkan dengan lanjutan masa, melebihi tempoh kontrak atau tidak tidak dapat disiapkan.

Jika ditanya sebabnya, kita mempunyai alasan yang munasabah. Antaranya; kelemahan kontraktor, masalah tapak, pindaan rekabentuk dan beberapa alasan lain.

Dalam tulisan ini saya tidak bercadang untuk membincangkan cara untuk mengatasi punca kelewatan. Banyak telah dibincang mengenainya. Saya hanya ingin mengajak semua yang terlibat dengan projek untuk merenung dan memikirkan tentang komitmen kita dalam memastikan projek dapat disiapkan mengikut jadual asal.

Adakah kita mempunyai komitmen atau hanya sekadar berharap?

Kita berharap masalah yang terjadi pada projek sebelum ini tidak akan berulang. Jika berulang dan projek terlewat kerananya, kita rasa tidak mengapa kerana minda kita sudah mempercayai bahawa projek lewat merupakan satu kebiasaan. Adakah benar atau sepatutnya begitu?

Saya mengajak semua untuk berubah dari mengharap kepada memberi komitmen. Apabila kita memberi komitmen, minda separa sedar kita akan memacu kita untuk mencari jalan bagi mengatasi rintangan yang dihadapi. Jika projek kita terlewat juga, kita tidak akan mudah mengalah. Dengan adanya komitmen, minda kita akan terus berusaha mencari jalan. Dan InsyaAllah projek kita akan siap mengikut jadual ataupun lebih awal.

Ir. Wan Ibrahim Wan Yusoff, Projek Parlimen Malaysia, IPJKR

Ambil Tanggungjawab Atas Kegagalan

Apa reaksi kita bila projek kita gagal – Siap lewat, kos bertambah atau kualiti tidak mencapai tahap?

Biasanya kita akan jawab; tidak cukup orang, kontraktor teruk, banyak campur tangan pihak lain, dan berbagai justifikasi lain.

Adakah kita memperolehi apa-apa dari reaksi tersebut? Ya, mungkin ada. Kita tidak rasa diri kita yang bersalah, tetapi orang lain. Namun adakah ia menyumbang apa-apa perubahan kepada projek kita? Jika tidak, adakah kita ingin meneruskan amalan tersebut? Saya teringat kata-kata hikmah daripada Einstein:

“Tidak waras: melakukan perkara yang sama berulang-ulang kali dan mengharapkan hasil yang berbeza.”

Saranan saya; Marilah kita mengambil tanggungjawab atas kegagalan projek kita. Ambil tanggungjawab bukan bermakna mengaku bersalah di atas kegagalan. Ambil tanggungjawab bermakna kita memberi komitmen untuk memperbaiki keadaan serta tidak menyalahkan orang lain. Kita akan mengkaji di mana berlaku kesilapan. Bukan untuk menghukum, tetapi untuk mencari jawapan bagaimana kita boleh melakukannya dengan lebih baik.

Sebagai contoh; Jika tidak cukup orang…bagaimana pelaksanaan strategi penempatan staf boleh ditambahbaik? Adakah staf yang diperuntukkan dioptimakan penggunaannya? Bagaimana dengan justifikasi yang lain?

Saya tidak mempunyai jawapannya sekarang. Namun saya yakin, jika kita mengambil tanggungjawab di atas kegagalan kita, jawapannya akan datang kepada kita.

Allah akan menolong hambaNya yang ingin menolong diri sendiri.

Ir. Wan Ibrahim Wan Yusoff, Projek Parlimen Malaysia, IPJKR

Telah Lama Berkhidmat, Tetapi Masih Tidak Mempunyai Kemahiran & Kualiti Kerja Yang Baik

Secara dasarnya, memanglah banyak perkara yang perlu dilihat bagi merumuskan seseorang masih tidak berkemahiran bagi menghasilkan kerja yang lebih baik. Antaranya adalah kapabiliti kapasiti minda seseorang yang agak perlahan walaupun telah mencapai peringkat penganugerahan pengijazahan di peringkat yang agak tinggi, mungkin disebabkan juga dengan jangkamasa minda yang telah mula dimamah usia. Kalau difikirkan secara sepintas lalu, tidak sepatutnya jadi begitu kerana sepatutnya lebih tua usia, lebih tinggi ilmu pengalaman dan kebijaksanaan (wisdom). Peribahasa ada mengatakan; jauh berjalan luas pengalaman, dan pengetahuan juga lagi tua kelapa lagi keras isinya. Kalau benih yang baik, dicampak ke laut menjadi pulau.

Sebagai contoh, Albert Einstein adalah merupakan seorang pelajar yang tercorot yang mana tidak boleh bersekolah kerana kelemahan mindanya semasa kecil, tetapi telah memberikan impak yang besar kepada kemajuan sains ciptaan dan kehidupan umat manusia sejagat. Berkemungkinan kita juga mempunyai kawan-kawan sekolah yang dulu tidaklah sebijak mana, tetapi di usia yang melangkaui usia pencen telah menduduki jawatan yang hebat-hebat.

Oleh itu, dapat dirumuskan bahawa semua ini adalah bergantung atas kesedaran, inisiatif dan keinginan pegawai itu sendiri sekiranya ingin berubah kepada keadaan yang lebih baik. Tuhan tidak akan mengubah nasib seseorang itu sekiranya dia tidak mahu atau berkeinginan mengubahnya nasib atau sikap dalaman dia sendiri. JKR dan agensi lain seperti INTAN juga ada membuka banyak ruang dan peluang seperti kursus teknikal dan bukan teknikal bagi mengapai tujuan ini. Biasanya pegawai sendiri kurang berminat untuk menghadiri kursus-kursus yang ditawarkan disebabkan malas mengisi borang atau perlu mendapat kelulusan pegawai atasan yang mungkin agak cerewet, kecualilah ketua pegawai sendiri yang mengarahkan pegawai menghadiri kursus bagi menambah pengetahuan dan kepakaran.

Dengan itu, adalah sewajarnya JKR perlu mengadakan Personality Profile Test bagi membolehkan pengurusan mengenalpasti kecenderungan dan minat seseorang kakitangan. Dengan ini, keupayaan seseorang kakitangan dapat di maksimumkan oleh jabatan dan negara.

Ir. ZACK, CDPK, IPJKR

Kompetensi Yang Terpinggir?

Tahniah apabila JKR berjaya membangunkan kompetensi teknikal pada 2012. Tetapi apa jadi dengan kompetensi Kakitangan Gunasama?

Kita diarahkan memenuhi keperluan Dasar Latihan JPA ( 7 hari berkursus) dan meningkatkan kompetensi yang ditetapkan oleh jabatan. Namun ini tidak berlaku bagi warga ini. Kompetensi mereka masih belum dibangunkan dan apa yang berlaku kepada kursus yang telah dihadiri? Apa berlaku dengan kursus yang tidak bertepatan dengan kompetensi? Ianya akan dikira ‘tangkap muat’ sahaja.

Pengisian Fail TNA diwajibkan kepada semua staf JKR. Bermakna kompetensi kakitangan Gunasama diperlukan. Jika tidak, kecualikan mereka dari mengisi Fail TNA sepertimana juga mereka tidak diwajibkan untuk pelaksanaan penilaian kompetensi menggunakan aplikasi Competency Identification (CI).

Kompetensi mereka patut diberi perhatian yang setimpal. Kemahiran mereka perlu dipertingkatkan sejajar dengan kompetensi teknikal. Mereka juga warga JKR dan banyak membantu kerja-kerja JKR. Tanpa kompetensi yang bersesuaian, sukar untuk merancang kursus yang lebih berstruktur dan efektif.

Dalam Rancangan Malaysia Kesebelas (RMKe -11), tumpuan akan diberikan ke arah mentransformasikan perkhidmatan awam bagi tujuan peningkatan produktiviti, pembangunan kompetensi dan kecekapan perkhidmatan awam.

Pelaburan yang sedikit ke atas mereka mampu menaikkan prestasi perkhidmatan kakitangan JKR yang lebih efisien secara kolektif.

Ayuh…lakukan pembaharuan…dengar rentetan dan bangunkan ‘KOMPETENSI YANG TERPINGGIR’….

NORLIZA BINTI KADIR, CAWANGAN ARKITEK, IPJKR

Metodologi dan Signifikan Pengurusan Nilai

Pertama kali saya terlibat dalam ‘Bengkel Pengurusan Nilai’ (BPN) adalah pada tahun 2009 sewaktu ianya baru pertama kali diperkenalkan Jawatankuasa Perancang Pembangunan Negara (JPPN) dan Unit Perancang Ekonomi (EPU), JPM. Gambaran yang saya terima mengenai ‘Pengurusan Nilai’ pada ketika itu adalah sungguh membuang masa kerana proses mengoptimakan rekabentuk yang diperkenalkan semasa bengkel tersebut semuanya telah dibuat oleh JKR semasa peringkat semakan rekabentuk oleh setiap HODT.

Walaubagaimanapun, setelah melalui kursus berkenaan Pengurusan Nilai dan melalui beberapa kali BPN, baru saya dapat melihat gambaran sebenar apa yang cuba dicapai melalui pelaksanaan Pengurusan Nilai. Kelebihan BPN adalah kerana ianya melibatkan perbincangan bersama Kementerian Pengguna, Pihak Pengguna, Agensi Pelaksana, Pihak Kontraktor, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan lain-lain lagi. Kelebihan pelaksanaan BPN kepada JKR adalah:-

  1. Mengoptimakan rekabentuk keseluruhan projek
  2. Mengenalpasti keperluan sebenar pihak pengguna
  3. Menambahbaik rekabentuk berdasarkan maklumbalas pelanggan
  4. Menjangka masalah yang bakal timbul semasa pelaksanaan projek.
  5. Mewujudkan kerjasama berpasukan antara semua pihak bagi menjayakan sesuatu projek

Metodologi Pengurusan Nilai adalah suatu proses yang sangat signifikan kerana kaedahnya yang mengoptimakan sesuatu projek secara sistematik daripada peringkat awal hingga akhir projek.

Ir. SYED ZULKARNAIN SHAH BIN SYED AHMAD KAMAL, UKAS, JPM

Jalinan Usaha Sama Sebagai Paradigma Transformasi

Dalam era teknologi dan maklumat tanpa sempadan, segalanya berada di hujung jari. Demi mengekalkan jenama, prestasi dan perkhidmatan, banyak syarikat di dunia ini mula membuka mata untuk menjalinkan usaha sama bersama syarikat lain untuk mendapatkan kecekapan perkhidmatan dan perbelanjaan. Contohnya seperti syarikat Maxis, Telekom (Unifi) dan Astro yang menjalinkan kerjasama dari segi penyiaran, jalur lebar dan telekomunikasi.

Jalinan usaha sama JKR dengan pihak luar dijangka akan dapat meningkatkan imej dan prestasi JKR dalam membangunkan JKR secara menyeluruh. Tambahan pula dengan bakal siapnya Institut Latihan JKR di Melaka, sudah pasti modul-modul pengajaran dan penyelidikan memerlukan sokongan institusi atau organisasi yang teras penubuhan / perniagaannya berlatarbelakang institusi pendidikan / penyelidikan. Antara kebaikan usaha sama yang diharapkan:-

  1. Penyelidikan dan pembentangan di peringkat antarabangsa
  2. Peluang melanjutkan pelajaran bagi warga JKR
  3. Pertukaran pengalaman di tempat kerja
  4. Kemudahan penggunaan peralatan

Bukan setakat itu sahaja, usaha sama tersebut juga boleh dibuat dengan pegawai JKR yang telah tamat tempoh perkhidmatan bagi berkongsi pengalaman, pengetahuan dan idea.

Ir. SYED ZULKARNAIN SHAH BIN SYED AHMAD KAMAL, UKAS, JPM

Peranan Penting JKR untuk projek PFI

Pembangunan infrastruktur negara secara amnya digerakkan melalui 3 sektor:-

  1. Kerajaan – Development Expenditure (DE)
  2. Swasta
  3. Kerjasama Kerajaan dan Swasta – Private Finance Initiative (PFI)

JKR terlibat secara langsung dalam mengetuai pembangunan infrastruktur negara melalui peruntukan DE sebagai agensi pelaksana dan penasihat teknikal. Manakala penglibatan JKR dalam projek-projek PFI tidak secara menyeluruh dan berbeza mengikut jenis projek dan model bisnes PFI tersebut.

Sebagai Agensi Teknikal Utama Kerajaan, JKR selayaknya perlu terlibat secara lebih komprehensif dalam memberi khidmat nasihat teknikal bagi projek PFI. Oleh kerana perbincangan di UKAS banyak melibatkan penentuan projek pada fasa perancangan, perbahasan polisi dan dasar kerajaan, maka JKR perlu menghantar wakil secara strategik bagi menangani situasi dan isu-isu sensitif tersebut. Penglibatan JKR pada peringkat perancangan sesuatu projek akan memudahkan penyinambungan kerja JKR pada peringkat pelaksanaan dan pemantauan sesuatu projek.

Penubuhan satu unit khas di JKR bagi melakukan kerja koordinasi dan memastikan hubungan komunikasi dua hala antara JKR dan UKAS berjalan lancar adalah satu langkah yang sangat signifikan. Perbincangan perlu dibuat dari semasa ke semasa bersama pihak UKAS bagi menentukan peranan JKR bagi setiap projek kerana seperti yang kita ketahui, setiap projek adalah unik.

Ir. SYED ZULKARNAIN SHAH BIN SYED AHMAD KAMAL, UKAS, JPM

Pembangunan Kompetensi Warga JKR

Pembangunan kompentensi warga Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR) telah lama dijalankan seawal penubuhannya dan merupakan organisasi teknikal kerajaan yang unggul. Dasar Latihan Dan Pembangunan Kompetensi JKR telah dilancarkan oleh Mantan Ketua Pengarah Kerja Raya, Dato’ Ir. Haji Mohd Noor B. Yaacob pada 19 Oktober 2011 bagi memastikan segala ilmu kejuruteraan mahupun pengurusan sentiasa dalam keadaan mantap walaupun berlaku pertukaran pegawai dalam organisasi JKR.

Penerbitan bahan bacaan dan rujukan teknikal JKR yang berterusan merupakan salah satu usaha dalam membangunkan kompetensi pegawai-pegawai JKR. Antara buku-buku yang diterbitkan ialah Piawaian Building Information Modeling (BIM) JKR edisi 2014 dan Kamus Kompetensi JKR. Pembangunan Aplikasi “Competency Identification” (CI) juga merupakan pendekatan soal selidik bagi mengukur tahap kecekapan pegawai JKR dalam bidang kejuruteraan, teknologi maklumat dan bahasa. Sistem Latihan JKR turut dibangunkan bagi merancang jadual kepelbagaian kursus kejuruteraan dan pengurusan untuk semua warga JKR bagi memastikan kompetensi setiap pegawai dapat ditingkatkan dari semasa ke semasa.

Kesimpulannya, pihak pengurusan tinggi JKR sentiasa membangunkan tahap kompetensi para pegawai JKR ke tahap yang lebih tinggi supaya semua hasil kerja projek JKR diiktiraf oleh negara ini mahupun di negara asing seperti kejayaan Projek Menara Kerja Raya (Blok G) dan Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah (Jambatan Kedua Pulau Pinang), baru-baru ini.

MUHAMMAD KHAIRUL AMIRUL, JKR DAERAH BARAT DAYA, PULAU PINANG

Kecemerlangan JKR

Di era globalisasi ini,JKR dilihat sebagai satu Agensi Kerajaan yang mapan, berdaya saing dan kondusif terhadap pelanggan-pelanggannya.Seiring dengan Program Transformasi Nasional yang menjadi agenda kerajaan masa kini, JKR yang diungguli dengan golongan professional dan staf sokongan pelbagai disiplin dilihat menongkah arus menghadapi cabaran dalam merealisasikan hasrat kerajaan dalam mencapai Wawasan 2020 dalam tempoh 5 tahun akan datang.

Selari dengan itu, dan atas kapasiti JKR dalam menuju destinasi kecemerlangan, maka terbina dan tersergam indahlah sebuah Menara Kerja Raya (Blok G) sebagai mercu tanda JKR dan organisasi didalamnya.

Sesungguhnya menara yang bersifat bangunan pintar ini memberikan bukti yang jelas bahawa warga JKR yang terlibat dalam peringkat perancangan, rekabentuk,pembinaan,penyeliaan,pengurusan atau apa jua sumbangan yang diberikan samada secara fizikal ataupun ideologi kreatif memberikan cerminan yang jelas bahawa ini lah dia JKR.

Menara setinggi 35 tingkat ini dihuni oleh warga JKR yang terpilih, sesuai dengan rekabentuk dan teknologi terkini seperti mesra alam dan dicipta untuk menjimatkan penggunaan tenaga serta bahanapi.Ruang kerja yang selesa, pencahayaan yang meliputi disegenap ruang dan perabot (wardrobe) yang tersusun rapi merupakan ciri-ciri dalaman bangunan ini.

Lantaran itu, ayuh warga JKR kekalkan kecemerlangan , tunjukkan semangat dedikasi terhadap tugas, tingkatkan prestasi dan berikan komitmen yang tinggi iaitu komitmen bertaraf dunia kepada pelanggan-pelanggan JKR khasnya dan rakyat Malaysia amnya.

Muhamad Bin Abu Talib, CPUM, IPJKR

Manfaat Dan Keperluan Media Sosial Dalam JKR

Meniti arus kemodenan yang semakin mencabar, JKR sebuah badan teknikal utama negara terus kukuh dan menjadi tunggak pembangunan Malaysia. Tenaga kerja berwibawa diperkukuh dan pelbagai teknologi terkini dipertaruhkan dalam menjana pembangunan mampan dan lestari. Jalinan media sosial mempertingkatkan kecekapan tenaga kerja dalam memastikan pembangunan negara terpelihara, rakyat hidup selesa dan sejahtera.

Penggunaan media sosial secara selektif dan efektif mampu membawa impak positif terhadap kaedah kerja, tugasan rasmi, jati diri serta kredibiliti sesebuah jabatan. JKR merupakan badan induk yang melaksanakan bukan sahaja pembinaan tetapi juga aspek penyenggaraan memerlukan sokongan semua pihak dalam memastikan kelancaran perkhidmatan – perkhidmatan yang disediakan, kewujudan jalinan media sosial membantu mempercepatkan edaran berita dan mempermudahkan tindakan susulan bagi mengelakkan sebarang kelewatan dan memastikan pelan perancangan tepat kepada golongan sasaran.

Dunia tanpa sempadan, media sosial mampu menjadi medium utama JKR dalam mendidik dan memupuk semangat kecintaan rakyat bagi menghargai pembangunan yang dilaksanakan dan meneruskan kelangsungan segala kemudahan yang disediakan. Melalui jalinan media sosial juga JKR berupaya mewujudkan ikatan mampan antara industri pembinaan dan dunia pendidikan dalam melahirkan pelbagai teknologi terkini yang relevan.

Tak tumbuh tak melata, tak sungguh orang tak kata, begitulah ibaratnya keperluan media sosial dalam memastikan JKR terus berdaya saing dalam meniti arus teknologi dan kemodenan.

SITI MAIZATULHARMI MOHD TASERIP, JKR N.SEMBILAN

Kepentingan ‘Project Management’ di JKR

Saya pernah berbual dan mendapatkan pandangan mengenai JKR daripada seorang Senior Project Manager sebuah syarikat yang telah memenangi Best Project Awards (Major Project > 100mil) di The Malaysian Construction Industry Excellence Awards 2015. Beliau berasa sungguh kagum dengan gerak kerja dan prosedur yang telah dihasilkan oleh JKR dari awal sehingga akhir projek. Sistem Pengurusan Bersepadu JKR telah lengkap dengan prosedur dan borang yang perlu dilengkapkan.

Walaubagaimanapun, Project Management yang telah mula diperkenalkan di JKR pada 2007 juga telah memainkan peranan yang sangat penting sebagai ‘alat’ membantu menggerakkan penggunaan SPB secara lebih komprehensif.

Pengalaman saya mempelajari Project Management melalui Program Pensijilan Pengurus Projek JKR telah membuka mata saya mengenai kepentingan aplikasi pengurusan projek secara sistematik dengan menguasai 10 Knowledge Areas (PMBOK 5th edition). Saya juga telah berpeluang mengaplikasikan aktiviti-aktiviti menangani Knowledge Areas tersebut bersama pasukan projek JKR di projek Institut Kanser Negara dengan berkesan sehingga membolehkan projek ini diiktiraf sebagai Ikon Pengurusan Projek 2014 dan mendapat Anugerah Khas Projek Inspektorat Terbaik dari Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), JPM.

Warga JKR yang berminat dengan Project Management hendaklah mengambil peluang mendalami teknik dan mempelajari ‘alat-alat’ yang digunakan dalam melaksanakan Project Management.

Ir. SYED ZULKARNAIN SHAH BIN SYED AHMAD KAMAL, UKAS, JPM

Budaya Komunikasi Berkesan dalam JKR

Salah satu karekteristik sebuah organisasi yang efektif dan berjaya adalah mempunyai tahap komunikasi dalaman yang luar biasa. JKR sebagai sebuah organisasi teknikal yang tertua dan terulung di Malaysia perlu mewujudkan BUDAYA Komunikasi Berkesan sebagai salah satu langkah strategik meningkatkan imej jabatan.

Pernah satu ketika apabila saya menghadiri suatu mesyuarat, pihak HODT diajukan soalan samada sudah menyemak lukisan dan dokumen yang diberikan dalam bentuk softcopy pada bulan lepas. Jawapan yang diterima adalah BELUM kerana softcopy tersebut tidak boleh dibuka. Inilah budaya kerja yang perlu diubah dengan memperkenalkan dan membudayakan komunikasi berkesan!

Apa kebaikan BUDAYA Komunikasi Berkesan di JKR?

  1. Mempercepatkan penyampaian maklumat dan menghasilkan keputusan.
  2. Meningkatkan motivasi warga JKR. Contohnya dari segi keputusan kenaikan pangkat yang cepat.
  3. Menghasilkan warga JKR yang sentiasa bersedia dan berpengetahuan.

Kesan membudayakan Komunikasi Berkesan di JKR ini tidak akan nampak hasilnya dalam jangka masa terdekat. Walaubagaimanapun, sebagai organisasi yang kekal relevan untuk 100 tahun akan datang, budaya Komunikasi Berkesan ini satu hari nanti diharap akan menjadi salah satu imej dan budaya JKR.

Ir. SYED ZULKARNAIN SHAH BIN SYED AHMAD KAMAL, UKAS, JPM

Sinergi Pasukan Projek Institut Kanser Negara

Umum mengetahui bahawa projek Institut Kanser Negara (IKN) di Putrajaya adalah sebuah projek yang siap dibina sepenuhnya dua minggu lebih awal dari tarikh siap projek. Projek ini diklasifikasikan sebagai projek berskala besar kerana komponen projek yang kompleks dengan peralatan hospital, ICT, BIM dan beberapa skop tambahan yang lain.

Terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada kejayaan penyiapan projek ini. Antaranya ialah sinergi pasukan projek IKN yang terdiri daripada 3 komponen utama iaitu Pasukan Projek JKR, Pasukan Projek KKM dan Pasukan Projek Kontraktor. Ahli pasukan projek ini terdiri daripada pakar dalam disiplin masing-masing beserta dengan personaliti peribadi yang menarik dan saling melengkapi antara satu sama lain.

Pihak Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), JPM juga pernah mengutarakan dalam mesyuarat bersama pasukan projek IKN, JKR beberapa tahun lepas agar pasukan projek IKN, JKR ini dikekalkan untuk projek-projek yang akan datang.

Mungkin sudah tiba masanya pihak pengurusan mempertimbangkan mengekalkan mana-mana pasukan projek JKR yang berprestasi bagi mengekalkan sinergi pasukan projek tersebut. Satu formula perlu dibangunkan bagi menubuhkan pasukan projek berdasarkan disiplin kepakaran dan pengurusan dengan fleksibiliti kenaikan pangkat sekiranya layak dan individu tersebut masih kekal dalam pasukan projek JKR.

Ir. SYED ZULKARNAIN SHAH BIN SYED AHMAD KAMAL, UKAS, JPM

Generasi Modal Insan JKR

Malaysia dalam usaha menyediakan Modal Insan yang berkualiti, inovatif dan kreatif menjelang tahun 2020. Bagi menyahut dan memenuhi visi tersebut, JKR perlu bertindak melahirkan Modal Insan agar pelapis-pelapis JKR pada masa hadapan berkemahiran tinggi dengan jati diri yang mantap.

Modal Insan bergantung kepada jenis dan proses latihan atau didikan. Seiring dengan bakal siapnya Pusat Kecemerlangan Teknologi Nasional, Institut Latihan JKR di Melaka, Jabatan perlulah menilai, menyelia dan melaksanakan modul latihan komprehensif yang merangkumi 3 elemen berikut:-

1. IQ (intelligence quotient)

Pengajaran dan Pembelajaran bagi meningkatkan tahap kompetensi dan kecerdasan mental. Modul latihan secara pengajaran teori dan teknikal.

2. EQ (emotional quotient)

Pengajaran dan Pembelajaran bagi meningkatkan tahap keyakinan, kesungguhan dan kestabilan emosi. Modul latihan adalah secara praktikal di tempat latihan ataupun di tempat kerja melalui pengalaman secara berterusan.

3. SQ (spiritual quotient)

Pengajaran dan Pembelajaran bagi meningkatkan tahap kesedaran nilai jati diri dan pengukuhan rohani. Modul latihan adalah melalui seminar, motivasi, ceramah bagi meningkatkan daya berfikir dan empati.

Keseimbangan IQ, EQ dan SQ akan dapat melahirkan generasi Modal Insan JKR yang berfikiran tajam, responsif dan optimis.

Ir. SYED ZULKARNAIN SHAH BIN SYED AHMAD KAMAL, UKAS, JPM

Pertembungan Ideologi ‘HODT’ Dan ‘HOPT’

Dalam melaksanakan sesuatu projek, kepentingan ‘HODT’ dan ‘HOPT’ tidak dapat dinafikan. ‘HOPT’ bertindak sebagai pengurus projek yang bertanggungjawab sepenuhnya dalam mengetuai dan menguruskan projek itu dalam memenuhi kehendak pelanggan. Manakala ‘HODT’ sebagai pakar teknikal yang bertanggungjawab sepenuhnya ke atas aspek teknikal projek disesuaikan dengan skop, masa dan kos yang ditetapkan yang telah dirancang oleh HOPT dalam memenuhi kehendak pelanggan. Oleh itu, pegawai di JKR samada di ‘HOPT’ dan ‘HODT’ perlu faham peranan dan tanggung jawab masing-masing.

Di atas kertas, sesugguhnya adalah mudah untuk memahami tanggungjawab atau tugasan pegawai di ‘HOPT’ dan ‘HODT’. Dalam organisasi JKR yang berkonsepkan hybrid matrix, pasti akan berlaku pertindihan tanggung jawab (overlapping) di antara satu cawangan dengan cawangan yang lain. Tidak ada satu cawangan pun yang boleh bertindak secara bersendirian. Di sini, peranan HOPT adalah sangat penting bertindak sebagai project leader. Pemilihan ‘HOPT’ daripada kalangan pegawai yang mempunyai kualiti kepimpinan yang tinggi adalah sangat penting bagi memastikan kejayaan perjalanan sesuatu projek.

Namun begitu, realiti yang berlaku dalam jabatan tidak sepertimana yang dirancang dimana kebiasannya sering kali akan berlaku pertembungan ideologi di antara ‘HOPT’ dan ‘HODT’. Dalam sesuatu perbincangan atau mesyuarat, situasi bertikam lidah di antara ‘HOPT’ dan ‘HODT’ pasti berlaku. Ini seringkali berlaku khususnya apabila timbulnya isu berkaitan ketidakcukupan peruntukan dan ketidakmampuan memenuhi rekabentuk pelanggan. ‘HOPT’ bertegas rekabentuk mesti disiapkan mengikut kehendak pelanggan berdasarkan peruntukan yang ditetapkan. ‘HODT’ tidak bersetuju sekiranya rekabentuk perlu diubahsuai supaya mengikut peruntukan yang ditetapkan oleh pelanggan. Disini berlakulah perang saraf yang tidak menguntungkan sesiapa tetapi lebih menjurus kepada kelemahan jabatan.

Dengan itu, PROKOM atau CDPK perlu lebih giat mempromosi dan menerangkan bagaimana cara mengurus projek dalam organisasi hybrid matrix. Ini bagi mengatasi silo mentality di kalangan ahli pasukan projek samada ‘HOPT’ mahupun ‘HODT’. Memupuk semangat perpaduan, persaudaraan dan kerjasama dengan mengutamakan organisasi perlu menjadi amalan kerja bagi setiap kakitangan JKR. Sifat mementingkan diri, ego dan bercakaran perlu dielakkan dan diharmonikan dengan sifat bertoleransi serta berkompromi. Seharusnya perlu ada penyelesaian dan bukannya menyalahkan antara satu sama lain. Pertemuan dalam suasana santai perlu diadakan antara HOPT, HODT, dan SO pada peringkat awal projek bagi mengeratkan perhubungan antara mereka. Kerapkali mereka hanya bertemu dalam suasana rasmi menyebabkan masing-masing dengan pendirian mereka dan enggan membuka fleksibilti. Sekiranya kita tidak berubah, siapa lagi yang akan mengubah organisasi JKR ke arah yang lebih baik.

Ir. Zack, CDPK, IPJKR

Penerapan Minda Kelas Pertama Di Kalangan Warga JKR

Penjawat awam memainkan peranan penting dalam merealisasikan hasrat kerajaan untuk memenuhi keperluan pembangunan individu, masyarakat dan negara. Jabatan Kerja Raya (JKR) merupakan salah satu agensi teknikal kerajaan yang disegani berdasarkan perkhidmatan, sejajar dengan piagam pelanggan JKR yang meliputi aspek pengurusan projek, senggara aset, khidmat nasihat teknikal, pengurusan aduan serta pengurusan kewangan.

Dasar-dasar kerajaan yang digubal perlu diterjemahkan melalui pelaksanaan yang mantap untuk menghasilkan produktiviti yang optimum. Penerapan minda kelas pertama juga berhubungkait dengan pembelajaran dan pembudayaan ilmu sepanjang hayat. Beberapa inisiatif telah dilaksanakan dalam perkhidmatan awam amnya dan JKR khasnya, antaranya Program Transformasi Minda, JKR Strategic Framework serta penetapan kursus minimum 7 hari setahun.

Penggunaan teknologi maklumat juga dapat membantu dalam penyaluran maklumat yang berkesan untuk tujuan penambahbaikan secara berterusan. Perancangan strategik dan langkah proaktif juga perlu dilaksanakan bagi meningkatkan mutu perkhidmatan seterusnya memberi imej yang baik kepada jabatan.

Transformasi kepada minda kelas pertama memerlukan perancangan teliti dan program yang komprehensif untuk menjana budaya kerja yang berkualiti tinggi. Sehubungan dengan itu, semua warga JKR bermula daripada kumpulan pelaksana sehingga pengurusan atasan perlu berganding bahu untuk menjadikan JKR sebagai jabatan yang cemerlang dan kompetitif sehingga ke peringkat global.

Dayang Azwa Abang Adenan, Pasukan Projek LPT2, Terengganu

Aku Hanyalah Seorang Jaga JKR

Aku hanyalah seorang jaga,
Darjatku pegawai rendah sahaja,
JKR Daerah tempat khidmatku,
Ruang pejabat tanggungjawabku,

Aku gembira kerja di sini,
Walau seringkali tidak dihargai,
Terpacak macam tiang berdiri,
Yang menegur jarang sekali.

Aku hanyalah seorang jaga,
Tanggungjawab besar gaji tak seberapa,
Keselamatan pejabat di bahuku,
Kerisauan keresahanku siapa ambil tahu?

Pejabat ku buka setiap pagi,
Di depan punch card pula aku berdiri,
Pantau pegawai yang punch dua kali,
Nak bantu kawan konon buat tak reti.

Bila ku tegur mereka melenting,
Siapakah engkau wahai Si Keling?
Bangsa India macam tak penting?
Boleh dipijak seperti ranting?

Aku hanyalah seorang jaga,
Keturunanku India bangsa ku Malaysia,
Walaupun kita berlainan rupa,
Tidak kah kita sama manusia?

Boss baru memberiku harapan,
Senyum dan tegurnya sudah menawan,
Kembali terubat hati yang pedih,
Memberikan sinar tak kira letih.

Tanggungjawab yang lebih aku diberikan,
Membantu memantau pergerakan kakitangan,
Memastikan keselamatan semua peralatan,
Digunakan oleh yang diberikan tugasan.

Disuruh pantau kawasan persekitaran,
Kemas bersih dan indah minta pastikan,
Tukang kebun juga diminta tengokkan,
Semoga cantik rumput dan tumbuhan.

Aku gembira terasa dihargai,
Walau pembodek boss aku dicaci,
Tidak ku endah semua celaan,
Kerana ku kini dianggap seorang insan.

Aku hanyalah seorang jaga,
Mempunyai hati dan juga rasa,
Kembang hatiku bila boss bertandan,
Tak tergambar bangga dengan perkataan.

Kepada semua yang besar berpangkat,
Berbudilah kamu tak kira darjat,
Kami tak harapkan sebarang hajat,
Hanya sedikit penghargaan buat azimat.

RAZALI DERAHMAN, CDPK, IPJKR

Mengembalikan Kecemerlangan JKR Di Masa Silam

JKR telah mengalami kemerosotan yang ketara dalam prestasi “project delivery”nya sehingga telah mengundang persepsi yang negatif daripada pihak pelanggan khususnya  dan orang awam amnya.

Faktor-faktor utama yang telah memungkinkan perkara ini berlaku boleh dikenalpasti, di antaranya ;

  1. JKR telah hilang fokus dalam matlamat “core business”nya tetapi sebaliknya disibukkan dengan pelbagai urusan sampingan lain yang tidak banyak menyumbang ke arah kecemerlangan JKR sebagai agensi teknikal terulung negara.
  2. JKR telah hilang pedoman serta keutamaan dalam melakukan apa yang sepatutnya dilakukan tetapi lebih berlumba-lumba untuk mendapat gelaran atau imbuhan dalam sesuatu pertandingan baik di antara agensi kerajaan maupun dalam JKR sendiri.
  3. Tiada permuafakatan serta semangat “esprit-de-corps” yang utuh sepertimana wujudnya satu ketika dahulu dengan adanya Pusat Latihan JKR di mana jalinan persahabatan serta semangat satu keluarga besar dapat dipupukkan.
  4. Jatidiri warga JKR di setiap peringkat dari kumpulan sokongan ke pengurusan & professional telah mula luntur disebabkan lebih mementingkan diri sendiri dari menitikberatkan kepentingan jabatan.

Teramat penting agar dicari punca-punca akar umbi kepada empat faktor utama di atas dan dirangkakan strategi jangka pendek serta jangka panjang untuk dilaksanakan secara bersungguh-sungguh dan komitmen yang tinggi di semua peringkat JKR bagi mengembali dan mengerlapkan kecemerlangan JKR.

Ir. Mohd Azahar Don, CJ, IPJKR

Punca Ketidakpuasan Hati Pelanggan

Kemerosotan prestasi JKR dalam “project delivery” adalah kian terserlah masakini. Kemerosotan ini bukan sahaja dari segi kelewatan untuk menyiapkan projek dalam tempoh ditetapkan tetapi juga dari segi kualiti projek yang tidak memenuhi hasrat dan keperluan pelanggan, sama ada kualiti pembinaan ataupun rekabentuk yang tidak memenuhi kehendak pelanggan sepenuhnya.

Faktor utama yang menyumbang kepada ketidakpuasan hati pihak pelanggan, antara lain, ialah pihak JKR sendiri. Antara punca-puncanya seperti berikut :

  1. Kurang pengawasan dan pemantauan berterusan di pihak JKR ke atas prestasi kontraktor sepanjang tempoh kontrak.
  2. Kurang arif akan spesifikasi pembinaan dan tidak peduli mempelajarinya.
  3. Terlalu mengikut lukisan 100% tanpa mengambilkira “implied needs” pelanggan walaupun diketahui bahawa sesetengah dari butir terperincinya adalah tidak praktikal atau sesuai dengan fungsi serta keadaan di tapak (tiada fleksibiliti).
  4. Kurang pendedahan di pihak pengawas projek kepada kursus-kursus berkaitan pengawasan projek yang berkualiti.
  5. Kurang penghayatan di pihak pengawas projek dari segi kualiti pembinaan yang perlu dicapai dan tiada perasaan “ownership” di pihak pengawas projek sehinggalah penyerahan kepada pelanggan.
  6. Lukisan rekabentuk yang tidak ditambahbaik walaupun terdapat kelemahan-kelemahan dalamnya ataupun lukisan yang tidak mengambilkira keseluruhan keperluan pelanggan.
  7. Terdapat kelemahan dalam aspek komunikasi antara pihak JKR dan pelanggan.

Ir. Mohd Azahar Don, CJ, IPJKR

Anjakan Paradigma Budaya Kerja Jabatan

Sepertimana  ramai warga JKR sedia maklum, prestasi JKR kian merosot terutamanya pada pandangan umum. Apakah penyebab yang telah membelenggu JKR sehingga berlakunya kemerosotan prestasi, di mana suatu ketika dahulu JKR  adalah “champion” dalam “ project delivery” dan dipandang tinggi dalam bidang ini?

Beberapa punca utama dikenalpasti telah menyebabkan kemerosotan ini berlaku, antaranya;

  1. Lambat atau tidak membuat keputusan sehingga adakalanya menimbulkan kos tambahan kepada projek disebabkan tuntutan daripada kontraktor .
  2. Tiada kesedaran tentang perlunya mengambil tindakan/membuat keputusan dengan cepat.
  3. Lebih suka menyerahkan kepada orang lain membuat keputusan, walaupun kuasa untuk berbuat demikian ada pada diri sendiri, sekaligus melambatkan sesuatu proses kerja di samping menjadikan pegawai sentiasa berada dalam “comfort zone” dan takut atau tidak mahu membuat keputusan kerana tidak mahu bertanggungjawab.
  4. Tiada “sense of urgency” atau kesungguhan untuk melaksanakan kesemua perkara di atas serta gagal mempelajari /mengambil iktibar dari kegagalan dan kelemahan dalam pelaksanaan projek-projek JKR yang lepas (lesson not learnt).
  5. Kurang arif dalam pengurusan projek dan pentadbiran kontrak.
  6. Kurang pemantauan di pihak atasan dan yang bertanggungjawab bagi memastikan “project delivery” yang cemerlang selepas projek siap.
  7. Tiada perasaan “ownership” dengan hasil projek siap yang telah diawasi pihak JKR.

Ir. Mohd Azahar Don, CJ, IPJKR

Jurutera JKR

Jurutera JKR tera orangnya,
Khidmat diberi tak kira siapa,
Jalan, bangunan semua dibina,
Keselamatan, keselesaan adalah utama.

Tera JKR tandingan tiada,
Apapun bidang pakar semuanya,
Bangunan Hijau cekap tenaga,
Jambatan terpanjang rekod dunia.

Lapangan terbang, jeti atau landasan,
Hangar, Terminal, dan juga pangkalan,
Tiada tugasan yang terlalu membeban,
Dek tinggi ilmu dan juga kepakaran.

Bila bencana melanda Negara,
Bumi bergoncang banjir menggila,
Jalan, jambatan dan lain prasarana,
Tumbang, runtuh, ranap semuanya,
Khidmat JKR pun ditagih segera,
Bila yang lain hanya mampu ternganga.

Tera jurutera sombong tiada,
Khidmat diberi ikhlas semuanya,
Bagi meningkat pembangunan Negara,
Ditekan diperlekeh tak ambil bicara.

JKR dan anda berpisah tiada,
Dari lahir, dewasa ke usia tua,
Setiap prasarana diguna JKR bina,
Dulu, kini dan selamanya,
Khidmat berterusan kepada anda,
Terus relevan untuk kita semua.

Razali Derahman, CDPK, IPJKR

Menginsankan JKR

Umum mengetahui bahawa JKR adalah Jabatan teknikal terulung Negara. Tidak ada organisasi teknikal lain yang mempunyai kepakaran dan bilangan pakar-pakar di pelbagai bidang kemahiran seperti JKR. Kita juga adalah pelopor Pengurusan Projek Kerajaan yang mampu memberi pentauliahan profesional kepada yang berjaya melalui program ini. Sayang sekali, mutakhir ini fakta tersebut tidak menjadikan JKR satu jabatan yang disegani, malah kita sering menjadi sasaran ketidakpuasan hati pelanggan.

Mengapakah kita kini menjadi organisasi yang pelanggan kita ‘love to hate‘; nak buang tak boleh, nak sayang jauh sekali? Kemana hilangnya rasa sayang masyarakat kepada JKR yang pernah menjadi kebanggaan mereka?

Sedar atau tidak, JKR sebenarnya sudah tiba di Persimpangan Perubahan. ‘Change we must‘ adalah mesej yang cukup jelas disampaikan oleh Dato’ Sri KSU KKR pada 30hb Sept 2015. Tanpa angin masakan pokok bergoyang, tanpa arus masakan perahu berolek. Tidak dapat tidak amaran DS KSU ini perlu dijadikan titik tolak perubahan mengembalikan JKR menjadi organisasi kesayangan rakyat dan sandaran Negara.

Di dalam kita memacu laju memberikan fokus yang tidak berbelah bagi untuk melaksanakan tugasan profesional kita, mungkin kita alpa bahawa seorang insan bukan hanya terdiri dari fisikal yang sado, tetapi juga rohani yang tenang dan jiwa yang kental. Sebagaimana lagu tidak boleh dipisahkan dengan irama, begitulah juga JKR dengan keinsanan.

KEMBALIKAN KEINSANAN DI DALAM JKR UNTUK KEMBALI BERADA DI PUNCAK.

Razali Derahman, CDPK, IPJKR

Pengalaman Dan Kompetensi: Apakah Rasional Keperluannya

Seringkali keriuhan terjadi apabila berlakunya proses kenaikan pangkat. Kakitangan yang berpengalaman akan mengatakan bahawa mereka layak dinaikan pangkat kerana telah lama bekerja. Dalam masa yang sama, kakitangan yang memiliki pengiktirafan kekompetenan juga akan menyuarakan mereka layak diberi kenaikan pangkat lebih awal daripada mereka yang telah lama berkhidmat.

Dalam situasi ini, pihak manakah yang sepatutnya menyelesaikan isu yang berbangkit ini? Amnya, akan adakah sifat keterbukaan dan penerimaan serta kepuasan sesuatu keputusan kenaikan pangkat ini. Kakitangan yang popular sudah semestinya menjadi pilihan atau keutamaan. Adakah benar perkara ini berlaku?

Sekiranya berlaku, adakah ianya disifatkan keputusan yang adil? Pengalaman dan kekompetenan seharusnya selari dengan tahun perkhidmatan. Berpengalaman tanpa kekompetenan ibarat buah yang telah masak tetapi tidak enak untuk dimakan. Kekompetenan adalah asas pengukuran kebolehan dan kemampuan pegawai disamping pengalaman yang dimiliki sepanjang tempoh perkhidmatan di JKR.

Oleh itu, jalan penyelesaiannya adalah lebih baik kakitangan itu sendiri bersedia atau mempersiapkan diri dengan kekompetenan yang sepatutnya disamping mempertingkatkan ilmu pengetahuan dan juga menimba pengalaman sebelum berlakunya proses kenaikan pangkat. Dengan ini, keharmonian dan keterbukaan menerima keputusan kenaikan pangkat akan dapat diterima dengan hati terbuka tanpa pertikaian.

Ir. ZACK, CDPK, IPJKR

Jalinan kepelbagaian disiplin di JKR

Jalinan kepelbagaian disiplin di JKR telah berjaya memupuk satu kerja berpasukan yang cemerlang dalam menyiapkan sesebuah projek dari agensi pelanggan.

Terdapat Cawangan Pakar yang diwujudkan mengandungi pelbagai disiplin yang pelbagai seperti Arkitek, Struktur, Sivil, Kontrak dan Ukur Bahan, Geoteknik, Mekanikal dan Elektrikal.

Jalinan kepelbagaian disiplin dalam JKR ini telah menyumbang produk yang berbeza. Cawangan Arkitek menyumbangkan lukisan senibina, Cawangan Struktur  menyediakan lukisan dan perkiraan elemen struktur dalam bangunan, Cawangan Sivil pula merekabentuk longkang,jalan,perparitan,sistem air dalaman dan luaran,

Cawangan Kontrak dan Ukur Bahan pula memperincikan anggaran kos di dalam butiran-butiran di dalam kontrak kerja, Cawangan Geoteknik pula  mengesyorkan syor asas bangunan sesuatu projek.

Cawangan Kejuruteraan Mekanikal merangka keperluan alat penghawa dingin, tangki sedutan bagi keperluan air ke tangki bangunan dan penyediaan ‘fire hyrant’ untuk keperluan pili bomba di tapak pembinaan.

Manakala, Cawangan Kejuruteraan Elektrikal pula  merekabentuk keperluan tenaga elektrik di tapak yang melibatkan Pencawang Elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Kesimpulannya, jalinan kepelbagaian disiplin dalam JKR telah berjaya memupuk semangat kerjasama berpasukan antara satu disiplin yang lain dan mampu mengharumkan nama JKR di jagat raya.

ISMAIL BIN HASHIM, CKBA1, IPJKR

Memupuk Budaya Cekap Tenaga di Sektor Awam Khususnya Jabatan Kerja Raya

Secara amnya, pemilik bangunan membelanjakan jutaan ringgit setahun untuk bil utiliti elektrik setiap bangunan di Malaysia. Perbelanjaan sebegini  kurang diberi perhatian sewajarnya oleh pihak pengurusan bangunan dalam memastikan bangunan mereka tidak mengamalkan budaya membazir tenaga khususnya tenaga elektrik.

Kajian  menunjukkan, amalan budaya cekap tenaga tanpa melibatkan sebarang kos boleh menyumbang kepada penjimatan tenaga elektrik daripada  2% hingga 4% daripada bil utiliti tahunan. Kaedah yang paling berkesan adalah memastikan tingkap pejabat sentiasa tertutup bagi mengelakkan udara luar masuk ke dalam ruang berhawa dingin. Setiap individu harus peka terhadap persekitaran pejabat dan tidak sewenang-wenangnya membuka tingkap di ruang berhawa dingin ketika waktu bekerja.

Audit mendapati budaya membuka tingkap di ruang berhawa dingin boleh menyebabkan pembaziran ke atas penggunaan tenaga elektrik oleh penghawa dingin  sehingga RM 250 sehari dimana hampir RM 60,000 setahun.

Penghuni juga tidak peka terhadap pembaziran yang disebabkan oleh lampu di pejabat.Kebanyakan ruang pejabat akan dilimpahkan dengan semua cahaya yang ada tanpa mengambil kira berapa penggunaan lampu yang perlu untuk sesuatu masa.

Ramai antara kita masih kurang memahami konsep cekap tenaga.Cekap tenaga bermaksud kita menggunakan tenaga yang optimum ketika dan pada waktu yang betul dengan efisen.Kita tidak perlu bergelap untuk menjimatkan tenaga elektrik.Pemahaman seperti ini harus diperbetulkan dengan segera.Penglibatan ketua-ketua organisasi secara langsung boleh memotivasikan setiap pekerja supaya lebih peka terhadap pembaziran ini. Ironinya, setiap tindakan yang diketengahkan tidak melibatkan sebarang kos penambahan kepada pihak pengurusan.Seharusnya tindakan serta merta boleh diambil bagi memastikan budaya ini diterapkan di semua peringkat organisasi.

Ezzuddin Bin Ab Razad, JKR Workyop Persekutuan, KL

Kepelbagaian Disiplin JKR

Kepelbagaian disiplin di JKR iaitu Arkitek,Jurutera,Juruukur Bahan dan Pengurusan Pentadbiran menjadikan JKR sebagai agensi kerajaan yang dipenuhi dengan golongan profesional yang sentiasa menjana idea-idea yang progresif, inovatif dan berdaya maju. Ini melonjakkan nama jabatan ke satu tahap yang boleh dibanggakan di peringkat nasional khasnya dan global amnya.

Projek Institut Kanser Negara (IKN) di Putrajaya contohnya, berjaya disiapkan dalam tempoh dua minggu lebih awal dari tempoh yang ditetapkan. Ianya berjaya meletakkan jenama JKR sebaris dengan agensi pelaksana kerajaan yang lain dalam memacu pertumbuhan pembangunan negara selaras dengan transformasi gagasan 1 Malaysia yang menjadi agenda penting negara masa kini.

Seiring dengan perjalanan negara menuju Wawasan 2020, JKR dilihat sebagai satu agensi penting kerajaan yang komited dalam memberikan perkhidmatan profesional yang berkualiti bagi memenuhi keperluan pembangunan negara.

Muhamad Bin Abu Talib, CPUM, IPJKR

Memanfaatkan Media Sosial Dalam Tugasan Rasmi

Di dalam tugas harian saya di pejabat, saya lebih suka menggunakan media sosial untuk menyampaikan maklumat kepada jabatan lain dengan lebih cepat.

Bagi membolehkan  saya melakukan tugasan saya itu, saya memerlukan akses internet. Dalam mengadakan sesuatu mesyuarat, saya biasanya menulis surat rasmi mesyuarat itu dan mendapatkan tandatangan dari Ketua Bahagian.

Surat yang telah ditandatangani itu akan saya ‘imbas’ dan dilampirkan bersama emel iringan terus di hantar kepada pegawai-pegawai yang terlibat di dalam mesyuarat ini.Saya menggunakan alamat emel mereka bagi membolehkan mereka mendapatkan maklumat yang saya hantar itu secara terus.

Dalam sesuatu lawatan tapak, saya akan menggunakan foto digital yang saya ambil dan dihantar melalui emel kepada pegawai yang hadir dalam lawatan tapak  itu bersama catatan lawatan tapak berkenaan.

Penggunaan ‘WhatsApp’, membolehkan saya berkongsi maklumat kerja secara berkumpulan. Ia membolehkan pasukan projek, Arkitek, Sivil, Struktur, Kontrak dan Ukur Bahan, Geoteknik, Elektrikal dan Mekanikal berganding bahu menguruskan perancangan sesuatu projek.

Saya tidak perlu lagi mengisi Borang Cuti apabila permohonan cuti boleh dilakukan melalui MyHrmis di internet melalui telefon bimbit dan menjadikan permohonan cuti kakitangan semakin mudah.

ISMAIL BIN HASHIM, CKBA1, IPJKR

Menyelami Hasrat & Keperluan Pelanggan

Menyelami hasrat dan keperluan pelanggan adalah penting diberikan penekanan,khususnya  di dalam menyerahkan sesebuah projek untuk pelanggan mengikut jadual  yang telah ditetapkan.

Pihak pelanggan telah pun menyediakan peruntukan bagi membiayai kos projek yang ingin dilaksanakan.

Setiap projek mempunyai kos siling yang tertentu. Sewaktu perancangan projek dilakukan, penyediaan anggaran butiran kerja hendaklah tidak melebihi kos siling yang telah ditetapkan.

Sekiranya perkara ini tidak diberikan perhatian, ada kemungkinan, pemotongan skop kerja perlu dilakukan dan ini sudah tentunya melewatkan projek tersebut di tender.

JKR sering berdepan dengan kelewatan menyiapkan projek mengikut jadual perancangan dan sewaktu perlaksanaan projek  kaedah Critical Path Method(CPM) telah digunakan tetapi keberkesanan dari segi pemantauan perlu dikuatkuasakan di tapak pembinaan.

Pengurusan  projek yang lemah oleh kontraktor utama juga menyumbangkan kelewatan projek disiapkan. Ini mendorongkan berlakunya lanjutan masa (extension of time) dan adalah dicadangkan pemilihan kontraktor oleh Jawatankuasa Lembaga Tender JKR lebih berhati-hati di dalam memilih kontraktor yang lebih berwibawa di masa depan.

Oleh yang demikian, penekanan yang disebutkan di atas perlulah diberikan perhatian oleh pihak JKR,khususnya di dalam menyelami hasrat dan keperluan pelanggan.

ISMAIL BIN HASHIM, CKBA1, IPJKR

Pemantapan Minda Ke Arah Pemikiran Globalisasi Dalam Pencapaian Visi Jabatan

Perubahan diri dengan memantapkan pemikiran melalui penerapan budaya kerja yang efektif serta efisien dan penyemaian nilai-nilai murni dalam keperibadian kakitangan di JKR dapat menyumbang kepada kejayaan organisasi JKR. Semangat dan motivasi kerja serta kemantapan ketahanan mental dan fizikal merupakan asas kepada penggerak menghadapi cabaran dalam dunia globalisasi.

Sebagai penjawat awam semestinya kita harus meletakan kepentingan organisasi dan negara pada tahap yang paling tinggi terutamanya dalam menghadapi isu-isu semasa yang sentiasa tidak konsisten khususnya dalam menghadapi dunia globalisasi.Robertson (1992) dan Ishak Shari (2000) mendefinisikan globalisasi sebagai satu fenomena multidimensi atau kepelbagaian hubungan yang meliputi aspek-aspek ekonomi, politik, ideologi dan budaya. Oleh itu, pemikiran globalisasi lebih menjurus kepada kebolehupayaan dan konsistensi dalam menguruskan sesuatu kepertanggungjawaban.

Menghasilkan idea dan produktiviti dan mampu berdikari di semua tempat merupakan asas kepimpinan (Rosabeth Moss Kanter, 1995). Realistiknya JKR bukan lagi agensi kerajaan yang dipertanggungjawabkan menguruskan projek-projek kerajaan di negara ini dimana sebahagian jabatan/kementerian di negara ini telah mentranformasikan sistem yang sedia ada itu. Pendekatan transformasionalis ke atas budaya kepimpinan kakitangan JKR amat diperlukan dan bukannya berfikiran skeptik yang menjurus kepada kelekaan.

Kekompetenan dan kepakaran adalah asas kepimpinnan utama yang perlu diterapkan dalam diri kakitangan JKR. Perancangan jabatan tidak mencukupi tetapi perlunya ada individual development plan. Hasil pemantapan minda,  pengurusan yang berkualiti dan peningkatan produktiviti kerja tercapai dalam memenuhi halatuju visi jabatan.

Ir. ZACK, CDPK, IPJKR